Tinta Si Isteri Mekanik: RESEPI : UDANG GALAH MASAK LEMAK CILI PADI DENGAN PUCUK PAKU

01 March 2014

RESEPI : UDANG GALAH MASAK LEMAK CILI PADI DENGAN PUCUK PAKU

Teks : Saudah Salleh

Kami berdua memang sukakan udang, lebih-lebih lagi udang yang bersaiz besar.

Pasar Tani Shah Alam memang terbaik, kerana ramai penjual dan pilihan yang banyak serta bahan-bahan yang segar. Walaupun ada yang mengatakan mahal, tetapi pada saya berbaloi apabila menikmatinya.

Sepinggan udang galah berharga RM20.00 dan terdapat 11 ekor dalam pinggan yang saya pilih.

Kemudian lalu pula di bahagian sayur-sayura ternampak pucuk paku. Sempat saya mencari resepi melalui telefon bimbit saya, bukan apa, takut tak kena pulak udang dengan pucuk paku. Nanti membazir dan tak puas hati.


Okay ini resepi yang saya masak. Maafkan saya jika tidak menepati citarasa penggemar lemak cili api terutamanya orang Negeri Sembilan.

Bahan-bahannya:

11 ekor Udang Galah - gunting misainya
1 ikat Pucuk Paku

1 kotak santan pekat M & S
1 genggam cili padi kampung - ditumbuk halus
1 inci kunyit hidup - ditumbuk halus (atau 1-2 sudu teh serbuk kunyit)
1 helai daun kunyit

Garam
1 keping asam (atau sedikit air asam jawa)

Cara memasak yang mudah:

1. Masukkan cili padi dan kunyit beserta santan ke dalam periuk. Didihkan. Kacau selalu agar tidak pecah santan.

2. Masukkan pula udang dan daun kunyit serta asam keping. Masukkan air jika kuah terlalu pekat. Jangan terlalu banyak, nanti cair pulak.

3. Bila udang bertukar warna kepada oren, masukkan pucuk paku, garam secukup rasa. Didihkan sebentar dan angkat.

Petua - jangan masak udang terlalu lama, nanti keras dan tak sedap.

Ada juga yang masukkan serai tetapi pada saya, sudah cukup dengan daun kunyit. Wangi.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign