Tinta Si Isteri Mekanik: RESEPI : MEE BANDUNG MUAR ASLI (TANPA MENGGUNAKAN PES SEGERA)

19 August 2014

RESEPI : MEE BANDUNG MUAR ASLI (TANPA MENGGUNAKAN PES SEGERA)

Teks : Saudah Salleh

Mee Bandung ini saya hidangkan semasa rakan-rakan sekelas hadir beraya ke rumah pada 3 Ogos 2014 iaitu raya ke-7.

Sebenarnya sangat senang membuat pes Mee Bandung ini. Saya pernah buat tapi ada rasa dan bau yang tidak enak membuatkan saya terus takut nak buat dari 'scratch'.

Ada beberapa tips dan 'trick' yang saya belajar dari resepi yang saya dapat dari pakcik saya. Beliau memang pandai dan sering memberi komen kepada masakan saya jika saya hidangkan pada beliau. Hihi.

Satu rahsia adalah penggunaan udang kering yang direbus dahulu, kemudian air rebusan udang kering digunakan untuk mengisar bahan-bahan tumis.

Yang kedua, gunakan daging tenderloin untuk cepatkan masa memasak. Tenderloin adalah bahagian daging yang lembut dan mudah empuk. Saya cari Frozen Indian Beef Tenderloin yang disimpan dalam peti sejukbeku di SEGI. Harga sekilo adalah RM21.99. Agak murah berbanding daging segar.

Daging tersebut direbus hingga empuk dan air rebusan disimpan sebagai kuah Mee Bandung ini.

Ini lagi satu tips PENTING. 
Mee bandung asli tidak mengandungi apa apa yang rasa masam, jadi, janganlah masukkan tomato puri/tomato sos/cili sos/asam jawa. Ini akan merosakkan keaslian rasanya. Ramai orang yang pandai-pandai ubah rasa Mee Bandung Muar ni dengan menambah bahan-bahan yang masam. Sayang, ia merosakkan rasa asli nya.

Yang paling best, ialah pes ini kita boleh bekukan! Resepi ini sesuai untuk 8 - 10 orang tetamu, jadi bila dah kisar, terus simpan dalam peti sejukbeku (freezer). Rebus daging dan bekukan. Air rebusan pun kita bekukan. Jadi, bila ada tetamu atau kita teringin makan Mee Bandung, sekejap je boleh siapkan. Sangat sesuai untuk ibu muda yang berkerjaya.

Ok, ini resepinya.
Mee Bandung Muar (resepi asli Muar)

Bahan-bahan:

1 kg Mee Kuning

10 tangkai cili kering (buang biji dan rebus, toskan)
1 labu bawang putih (diketuk)
5 biji bawang merah
½ cawan udang kering, direbus dengan secawan air (alternatively boleh guna sotong rendam, rebus juga)

½ cawan udang hidup
1 cawan daging rebus (dipotong nipis)

Sawi (sukatan ikut suka, potong anggaran 1 inci)
Kobis (sukatan ikut suka, hiris kasar)

¾ – 1 cawan gula pasir
3 – 4 cawan air rebusan daging
1 sudu makan sos tiram

Telur ayam (mengikut jumlah hidangan)
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Lain lain perencah e.g. daging ayam, fishballs, sotong, bunga kobis, hati rebus boleh dimasukkan mengikut individual preference.

Daun sadri & daun bawang, jika suka (dihiris)


Cara memasak:
1.    Kisar cili kering, udang kering bersama air rebusannya, gula, bawang putih & bawang merah. Yang inilah kita bekukan untuk kegunaan waktu kecemasan.

2.    Pijarkan sedikit minyak didalam kuali.

3.    Tumiskan bahan bahan yang dikisar. Jangan sampai garing.

4.    Masukkan sos tiram.

5.    Masukkan udang, daging rebus.

6.    Masukkan batang sawi dan air rebusan daging serta garam. Biar sehingga pekat

Tips: Untuk menghidang (Mee bandung ni tak sedap masak in bulk, so kenalah “bancuh” sepinggan-sepinggan.)

1.    Ambil sedikit kuah (dan rencahnya untuk satu orang makan)

2.    Panaskan kuah dan masukkan sebiji telur, sehingga separuh keras.

3.    Masukkan sayur dan bila agak lembut, masukkan mee kuning untuk satu orang makan.

4.    Masukkan kedalam mangkuk leper, telur letak diatas, taburkan daun sup & daun bawang, jika suka.

5.    Hidangkan.


Saya masak untuk 30 orang, jadi semua bahan didarab tiga sebab resepi ini untuk 8-10orang.

Kemudian, cara hidang tu, setakat satu family bolehlah nak masak telur tu sesatu. Kalau ramai macam jemputan saya tu, saya masukkan 10 biji telur. 

Cara dia macam ni. Sediakan 1 mangkuk kecil. Pecahkan 1 biji telur. Masukkan perlahan-lahan ke dalam periuk kuah. Api kena besar supaya telur kuning tu terus masak. Kacau perlahan supaya telur putih pecah TETAPI jaga telur kuning. Biarkan telur kuning tu keras.

Ulang langkah atas hingga habis. Jadi nasiblah siapa yang dapat telur kuning tu hihi.

Ini tetamu yang hadir pada siang hari. Yang malam lupa nak bergambar.

Semoga bermanfaat!








Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign